Obor Belia Buku 23: Hidup Terhitung Bagi Tuhan

2337

Jika anda kumpulkan pemuda-pemudi Kristian bersama-sama kawan-kawan mereka yang bukan Kristian, kemungkinan besar para belia Kristian ini tidak terlalu menonjol. Cara mereka berpakaian, tutur bicara mereka, sikap-sikap serta nilai-nilai mereka hampir-hampir tidak dapat dibezakan. Hal yang sama turut dialami oleh orang-orang Kristian dewasa. Hakikatnya, gereja sudah menjadi begitu sebati dengan dunia moden ini sehingga ianya dalam bahaya kehilangan keberkesanannya.

Para belia kita membesar dalam dunia yang mengalami perubahan- perubahan hebat dalam hampir-hampir semua aspek kehidupan. Nilai- nilai moral semakin runtuh, gaya hidup dicabar, materialisma semakin meningkat dan orang ramai bekerja semakin keras mengejar status, kekayaan dan kejayaan. Jadi, amat penting bagi kita membantu para belia kita untuk mengenali Alkitab dan belajar awal-awal lagi apa erti “berada dalam dunia tetapi bukan dari dunia.”

Sesi 1-4 dirancang untuk membantu mereka memeriksa semula nilai-nilai mereka berasaskan ajaran-ajaran Alkitab. Bagaimana mereka harus hidup di tengah-tengah masyarakat yang mendewakan wang dan apa yang boleh dibeli oleh wang. Nilai-nilai apakah yang menjadi pegangan bila kecenderungannya ialah setiap orang memutuskan standard-standard dan nilai-nilainya sendiri? Dalam dunia moden hari ini, para belia Kristian perlu diingatkan bahawa standard-standard dan nilai-nilai mereka sebagai umat Kristian masih berdasarkan kepada Firman Tuhan yang tidak pernah berubah dan kekal selamanya.

Sesi 5-8 adalah mengenai pekerjaan dan kerjaya. Ramai orang Kristian berpendapat bahawa panggilan Tuhan hanya untuk mereka yang terlibat dalam pelayanan dan perkhidmatan Kristian sepenuh masa sahaja. Mereka menganggap pekerjaan-pekerjaan “sekular” tidak tergolong dalam panggilan Tuhan. Yang lain pula berpendapat melayani Tuhan dalam gereja, khasnya sebagai pekerja sepenuh masa atau missionaris, merupakan panggilan yang lebih mulia daripada melayani Tuhan di tempat kerja masing-masing. Betulkah itu?

Oswald Chambers dalam bukunya “My Utmost for His Highest” (Yang Terbaik Dariku Untuk Dia Yang Tertinggi) mengatakan “Panggilan Tuhan bukanlah panggilan terhadap mana-mana pelayanan tertentu; … Pada dasarnya, panggilan Tuhan merupakan ungkapan sifat semulajadi Allah sementara pelayanan dan perkhidmatan merupakan hasil yang bersesuaian dengan sifat semulajadi saya.” Dia terus mengatakan bahawa sebagai hasil perhubungan kita dengan Tuhan dan apa yang Dia telah lakukan untuk kita, tidak kira apa sekali pun perkhidmatan dan pelayanan kita, sepatutnya berpunca daripada kasih dan kesetiaan terhadap-Nya. Segala jenis pekerjaan merupakan perkhidmatan kepada Tuhan. Jadi, tidak kira apa pekerjaan kita, apa yang penting ialah kita melayani Tuhan dengan sebaik-baiknya dan sedaya upaya kita kerana kita begitu bersyukur kepada-Nya dan amat mengasihi Dia.

Justeru buku ini bertujuan membantu para belia Kristian menyedari bahawa tidak kira siapa mereka, dan apa pekerjaan mereka, hidup mereka adalah untuk melayani Tuhan kerana Allah terlebih dahulu mengasihi mereka. Allah ingin sekali hidup mereka terhitung bagi Dia dalam apa jua kerjaya yang mereka lakukan. Mereka perlu sedar bahawa sesuatu pekerjaan bukan sekadar pekerjaan sahaja. Ianya merupakan seruan Tuhan kepada mereka supaya melayani Dia menerusi pekerjaan tersebut dan menyatakan Dia di mana mereka berada.

Semoga buku ini akan membantu para belia Kristian memupuk pandangan yang berlainan terhadap kerjaya masa depan mereka. Dan semoga Tuhan akan menggunakan pelajaran-pelajaran dalam buku ini untuk merangsang hati dan jiwa belia Kristian hari ini supaya memberi respon positif kepada seruan menjadi pekerja-pekerja dalam pelayanan Kristian sepenuh masa.

“Kerana itu kami senantiasa berdoa juga untuk kamu, supaya Allah kita menganggap kamu layak bagi panggilan-Nya dan dengan kekuatan-Nya menyempurnakan kehendakmu untuk berbuat baik dan menyempurnakan segala pekerjaan imanmu, sehingga nama Yesus, Tuhan kita, dimuliakan di dalam kamu dan kamu di dalam Dia, menurut kasih karunia Allah kita dan Tuhan Yesus Kristus.”
(2 Tesalonika 1:11-12)