Obor Belia Buku 14: Bersemuka Dengan Kristus Yesus

1494

“Sesiapa yang bertemu dengan Yesus tidak akan kekal sama.” Itulah yang ditulis oleh Philip Yancey dalam bukunya Yesus Yang Tidak Pernah Saya Kenali. Tambahnya lagi, apa yang kita fikir tentang Yesus dan bagaimana kita bertindakbalas akan menentukan haluan hidup kita.

Malangnya, ramai di antara kita membenarkan pengalaman-pengalaman dengan Yesus dan pemahaman kita tentang-Nya menjadi pudar. Oleh sebab itu, kita perlu sering kembali dan mengkaji Berita Baik. Kita perlu mengeratkan hubungan kita dengan Yesus – mempelajari sesuatu yang baru atau mengkaji semula kebenaran- kebenaran tentang Yesus agar kita terus menerus mengizinkan Dia mengubah hidup kita. Inilah kehidupan Kristian yang sepatutnya – diubah supaya semakin menyerupai Kristus sehinggalah kita bersemuka dengan-Nya di akhirat kelak.

Buku ini bertujuan membantu para belia mengenali Yesus sekali lagi, baik dari segi kemanusiaan-Nya mahupun keilahian-Nya. Buku ini diatur supaya para belia akan mengkaji Alkitab dan menemui dengan sendiri, Tuhan yang sebagaimana yang mereka percayai. Melalui penemuan mereka, kemungkinan mereka akan menyedari bahawa Yesus jauh berbeza daripada apa yang mereka anggap dan fikirkan.

Semoga Buku ini menjadi alat yang berkesan agar para belia akan bertembung dengan Yesus secara hebat. Semoga pertembungan ini membawa pengertian mendalam bahawa Allah, dalam Yesus Kristus amat mengasihi mereka. Selaras dengan pengertian ini, semoga mereka akan dicabar sekali lagi baik dalam pemahaman mereka tentang Dia mahupun cara hidup mereka sebagai pengikut-pengikut-Nya.

“Tetapi semua yang tercantum di sini telah dicatat, supaya kamu percaya, bahwa Yesuslah Mesias, Anak Allah, dan supaya kamu oleh imanmu memperoleh hidup dalam nama-Nya.” (Yohanes 20:31)