Alkitab Sudah Berusia Lebih 400 Tahun!

1439

Ramai daripada kita mungkin tidak menyedari bahawa sebahagian daripada Alkitab dalam Bahasa Melayu telah pun diterjemahkan setahun selepas penerbitan Bible King James Version. 400 tahun dahulu, pada tahun 1612, Injil Matius telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Ia merupakan satu peristiwa penting kerana ia adalah terjemahan terawal Alkitab dalam bahasa bukan Eropah yang digunakan sebagai alat penginjilan. Jauh sebelum Alkitab diterjemahkan ke dalam Bahasa Cina, Tamil dan Tagalog.

Injil Matius telah diterjemahkan oleh seorang pedagang Syarikat Hindia Timur Belanda yang bernama Albert Corneliszoon Ruyl, dengan tajuk “lang Testamentum Baharu, arti-n’ja: jang d’jand’ji baharu dari Tuhanku Jesu Christi: bersalim kapada bassa Hulanda daan bassa Malaju, saperti jang adillan bassa Gregu.” Tetapi penerbitan pertama terjemahan tersebut hanya dilakukan 17 tahun kemudian pada tahun 1629. Dua naskah asal Alkitab Bahasa Melayu 1629 masih tersimpan di Perpustakaan Awam Stuttgart di Jerman dan British Museum di London.

Oleh itu, penggunaan kalimah Allah sebagai rujukan kepada Tuhan oleh orang-orang Kristian seperti yang terdapat dalam Alkitab Bahasa Arab lama telah mula digunakan secara meluas di kalangan penduduk di rantau ini. Ruyl telah menetapkan satu hala tuju dalam penterjemahan Alkitab Indonesia dan Melayu apabila dia menggunakan ‘Allah’ sebagai terjemahan kepada ‘God’. Sejak itu, istilah tersebut telah digunakan secara berterusan di rantau ini.

Selepas 400 tahun, kita pasti menyangka Alkitab bebas didapati terutamanya di Sabah dan Sarawak, di mana lebih daripada 65% jumlah penduduk Kristian di Malaysia didapati. Tetapi kenyataannya bukan begitu. Hanya pada tahun lepas (tepatnya sebelum pilihan raya kecil Sibu) Kerajaan agak longgar dengan Alkitab, itupun hanya untuk Sabah dan Sarawak.

Saya masih ingat apabila saya memberikan hidup saya kepada Yesus selepas Kebangunan Rohani Ba’Kelalan, Alkitab sudahpun sukar didapati di pekan saya. Sebahagian daripada kami yang boleh membaca Bahasa Inggeris, menggunakan Perjanjian Baru dalam Bahasa Inggeris untuk membantu kami bertumbuh di dalam Kristus. Pada masa itu, saya juga mempunyai satu salinan “Perjanjian Baharu: Berita Baik Untuk Manusia Moden” (BSSBM, 1974).

Ada beberapa peristiwa penting yang berkaitan dengan Alkitab di Sabah sejurus sebelum gelombang kedua Kebangunan Rohani Ba’Kelalan. Pada 2hb Disember 1981, Alkitab Indonesia telah dilarang di seluruh Malaysia di bawah Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Penerbitan) (No. 3). 3 bulan kemudian pada 22hb Mac 1982, Kementerian Dalam Negeri mengeluar-kan satu perintah baru: Alkitab kini ditegah di bawah Perintah ISA (No. 4) – “Dilarang untuk mencetak, menerbit, menjual, mengedar kecuali untuk kegunaan di gereja-gereja atau orang yang menganut agama Kristian.”

Pada awal bermulanya Kebangunan Rohani Ba’Kelalan, pada 4hb Mei 1983, “Perjanjian Baru ditegah dan tertakluk pada syarat bahawa tegahan ini tidak dikenakan kepada pemilikan dan penggunaan suratan itu di dalam gereja oleh Kristian di seluruh Malaysia dengan alasan memudarat kepada kepentingan negara & keselamatan Persekutuan.” (KHEDN: O.59/3/9/A; PN (PU2) 24 Pt.II). Di kemuncak Kebangunan pada tahun 1986, KDN telah mengeluarkan surat pekeliling yang menyatakan penggunaan 4 perkataan (Allah, Kaabah, Baitulah & Solat) tidak dibenarkan untuk semua penerbitan Kristian. Menjelang tahun 1988, 25 perkataan telah dilarang di 9 negeri di Malaysia. Dan pada tahun 1992, Fatwa Sabah melarang penggunaan 32 perkataan oleh orang bukan Islam dalam pengajaran & penyebaran ajaran mereka. Ini kemudiannya diwartakan pada 1 Jun 2003.

Kita telah kehilangan satu generasi Kristian di Malaysia. Alkitab telah diharamkan ketika kehausan akan Firman Allah dan kelaparan bagi pekerjaan-Nya sedang memuncak. Masa terbaik untuk menanam benih adalah 30 tahun yang lalu dan kita pula sudah terlepas. Apabila 1,000 Alkitab Indonesia telah dirampas di Kastam pada awal tahun 1980-an, pemimpin-pemimpin gereja Sabah & Sarawak meminta bantuan tetapi gereja-gereja di Semenanjung Malaysia tidak berbuat apa-apa. Dan 1,000 Alkitab itu telah dibuat unggun api di tempat awam.

Gereja BM dibiarkan tanpa sebarang bantuan. Generasi itu tidak sempat dimuridkan. Pujian & penyembahan telah berkembang, tetapi Firman Tuhan tidak berakar. Tidak hairanlah kita mempunyai generasi orang-orang Kristian yang tidak mempunyai pengetahuan atau pengalaman peribadi dengan Tuhan. Gereja kehilangan mereka kepada arus kemodenan dan pengislaman. Dan Gereja menjadi begitu selesa sehingga kita kehilangan anak-anak kita kepada dunia.

Tetapi Allah memberi kita peluang kedua. Inilah masanya untuk Gereja untuk bangun, bukan untuk diri kita tetapi untuk anak-anak kita. Kita mempunyai tanggungjawab untuk membina dan mengukuhkan iman mereka dengan meletakkan Alkitab dan buku-buku Kristian di tangan mereka. Adakah kita akan tidur lagi? Atau tidak mau ambil peduli? Atau setiap gereja melakukan hal-hal mereka sendiri sahaja? Ini adalah masa kairos untuk kita menebus apa yang telah dimakan oleh belalang di bumi ini.

Masa terbaik untuk menanam benih adalah 30 tahun yang lalu. Kita sudah terlepas. Masa selanjut yang terbaik adalah hari ini!

(Artikel ini diambil dari Berita Rakan Penabur, Q2 2012)